|
Dakwah di Medan Perang
Dakwah Khalid
bin Walid ra. di medan perang
Menurut Al-Waqidi dan lainnya, mereka berkata: Satu peristiwa, pada
pertempuran Yarmuk, keluarlah dari barisan musuh seorang panglima
besar musyrik, lalu dia menyeru Khalid bin Al-Walid untuk keluar
dari barisan kaum Muslimin. Khalid pun keluar dengan kuda tangkasnya,
hingga hampir-hampir kedua kuda itu berlaga kerana ketangkasannya.
Maka berkatalah panglima pasukan musyrik itu yang bernama Jarjah:
"Engkaukah
yang dikenal Khalid, panglima pasukan ini?".
"Ya, aku Khalid pedang Allah!" jawab Khalid.
"Khalid, pedang Allah?" tanya Jarjah lagi.
"Ya", jawab Khalid. "Dan engkau siapa?"
"Aku Jarjah, panglima perang!"
"Apa maksudmu memanggil aku ke sini?" tanya Khalid.
"Hai Khalid! Bicaralah yang benar, dan jangan berdusta! Sebab
orang yang merdeka itu tidak berdusta. Dan jangan pula engkau
menipuku, kerana orang yang berkedudukan seperti engkau ini tidak
akan menipu yang lain, apa lagi bila hal itu ada pertaliannya
dengan Allah!" jarjah ingin menguji kejujuran Khalid.
"Baiklah", jawab Khalid. "Aku akan berkata benar
dan menjawab sesuai dengan kehendakmu!"
"Engkau mengaku diri sebagai pedang Allah, bukan?" tanya
Jarjah.
"Ya", jawab Khalid pendek
"Apakah Allah telah menurunkan pedang itu dari langit kepada
Utusan kamu, lalu dia menyerahkan pedang itu kepadamu, dan engkau
tidak akan menghunuskan kepada sesiapa pun, melainkan engkau akan
mengalahkannya?" Jarjah meminta penerangan dari Khalid.
"Tidak!" jawab Khalid pendek lagi.
"Oh, tidak?!" Jarjah mengejek. "Jadi bagaimana
engkau dipanggil sebagai pedang Allah? Bukankah itu ajaib sekali?!"
Jarjah menambah lagi.
"Tidak ajaib, jika engkau mendengar cerita yang sebenarnya!"
jawab Khalid.
"Kalau begitu ceritakanlah kepadaku!" pinta Jarjah.
"Sekarang dengarlah ceritanya: Sesungguhnya Allah telah mengutus
kepada kita UtusanNya, lalu Beliau mengajak kami memeluk Islam,
tetapi kami menjauhkan diri darinya, dan kami sekalian menyingkirkannya.
Meskipun begitu ada juga setengah dari kami yang mempercayainya
dan mengikutnya, manakala yang lain mendustakannya dan menentangnya,
dan jika engkau ingin tahu aku adalah di antara orang-orang yang
mendustakannya dan menentangnya", Khalid menceritakan dirinya
dengan jujur.
"Sesudah itu?" tanya Jarjah yang mendengar dengan penuh
minat.
"Kemudian Allah telah melembutkan hati kami, dan membukakan
pemikiran kami, lalu kami diberiNya petunjuk untuk memeluk Islam,
dan kami pun memberikan kesetiaan kami kepadanya", Khalid
berdiam sebentar mengenang dirinya di masa lalu.
"Kemudian, apa yang berlaku?" tanya Jarjah lagl
'Kerana aku memeluk Islam itulah, maka beliau berkata kepadaku:
Hai Khalid! Engkau ini adalah pedang dari pedang-pedang Allah,
yang dihunuskan Allah ke atas kaum musyrik, dan beliau mendoakan
bagiku dengan kemenangan!" jelas Khalid.
"Sebab itulah engkau dikenal dengan pedang Allah?!"
tanya Jarjah.
"Ya, aku rasakan itu, dan aku orang yang paling keras di
antara pasukan Islam ke atas kaum musyrik", 'jelas Khalid
lagi.
"Baiklah", tanya Jarjah. "Engkau membawa pasukanmu
ke sini itu, untuk apa?"
Aku datang ke sini untuk menyeru orang-orang seperti kamu kepada
Islam, dan mempercayai Tuhan yang Satu!" jawab Khalid.
"Tuhan yang Satu?" tanya Jarjah.
"Ya, dengan menyaksikan bahwa tiada Tuhan melainkan Allah,
dan bahwasanya Muhammad itu adalah Utusan Allah, serta meyakini
bahwa apa yang dibawa Muhammad itu adalah dari Allah yang Maha
Mulia", terang Khalid.
"Kalau kami tidak mahu menerimanya?"
"Bayar upeti, dan kami akan melindungi kamu!"
"Kalau kami tidak mahu membayar upeti itu?"
"Kami akan memerangi kamu habis-habisan!"
"Baiklah, apa kedudukan orang yang mengikut seruanmu itu,
dan yang mendampingkan diri dalam apa yang engkau seru itu?"
'Kedudukannya dengan kami sama tentang apa yang difardhukan Allah
ke atas kami sekalian, baik dia orang berpangkat atau orang yang
rendah, yang pertama memeluk Islam dan yang kebelakangan! Yakni
siapa yang mengikut Muhammad sekarang ini akan memperoleh pahala
yang sama dengan siapa yang telah mengikutnya lama sebelum ini,
iaitu balasannya dan kelebihannya?!"
"Bagaimana itu?" Jarjah meminta penjelasan.
"Ya", jawab Khalid, "bahkan boleh jadi lebih utama
lagi".
"Bagaimana sampai begitu? Bagaimana agamamu menyamakan orang-orang
ini dengan kamu, padahal kamu sudah mendahului mereka?" tanya
Jarjah.
"Mudah saja!" jawab Khalid. "Kita orang-orang yang
terdahulu memeluk Islam secara terpaksa, kerana kita telah menentangnya
sebelum itu. Kemudian kita memberikan kesetiaan kami kepadanya
sedang dia hidup di sisi kita, berita-berita langit sedang turun
kepadanya, dia memberitahu kita tentang firman-firman Allah itu
serta dibuktikannya dengan keterangan-keterangan yang tidak dapat
diragukannya lagi", kata Khalid.
"Jadi, apa alasannya?" tanya Jarjah lagi.
"Jadi orang-orang seperti kita ini sudah melihat semua bukti-bukti
itu, dan kami mendengar sendiri darinya, sudah seharusnyalah kami
mengikutnya dan menganut kepercayaannya. Tetapi kamu tidak seperti
kami, kamu tidak melihat apa yang kami lihat, dan kamu tidak mendengar
seperti apa yang kami dengar dan berbagai keajaiban dan bukti-bukti
yang membenarkan seruan dan dakwaannya. Jadi barangsiapa yang
mengikut perkara ini di antara kamu dengan kebenaran dan niat
yang baik, tentulah dia lebih utama dari kami".
Jarjah terharu dengan penerangan Khalid itu, lalu dia berkata:
"Demi Allah, aku yakin engkau telah mengatakan yang benar,
dan engkau tidak menipuku!"
"Demi Allah, aku telah berkata yang benar, tiada suatu pun
yang aku sembunyikan, dan Allah telah membantuku untuk menjawab
soalan-soalanmu itu dengan yang benar", terang Khalid.
"Kalau begitu, apa gunanya lagi aku menyandang perisai ini",
kata Jarjah, dia lalu melepaskannya, sambil memeluk Khalid dan
berkata: "Hai Khalid! Ajarkanlah aku agama Islam itu!"
pinta Jarjah.
Khalid Ialu mengajak Jarjah datang ke kemahnya, lalu disiramkan
ke atasnya dengan qirbah air (kulit kambing yang dibuat untuk
mengisi air), kemudian diajaknya Jarjah bersembahyang dengannya
dua rakaat.
Akhirnya pasukan Romawi
kecewa apabila Jarjah tidak kembali lagi kepada mereka. Lalu mereka
memulai penyerangannya kepada pasukan Islam, dan pada mulanya mereka
merasa bangga dengan kemenangan kecil di mana mereka dapat mematahkan
sayap-sayap pasukan Islam, kecuali yang sedang dipertahankan oleh
lkrimah bin Abu jahal ra. dan Al-Harits bin Hisyam ra. Khalid bin
Walid ra. pun keluar ke medan peperangan untuk menyelamatkan pasukan
Islam, dan keluar bersamanya Jarjah yang baru memeluk Islam. Keduanya
pun memimpin pasukan Islam di tengah-tengah pasukan Romawi yang
mencoba mengepung pasukan Islam. pasukan Islam pun berteriak semangat
dan menggempur di belakang panglimanya, si pedang Allah, sehingga
akhirnya pasukan Romawi tidak mampu bertahan lagi, dan mereka pun
mundur kebarisan mereka yang asal. Khalid terus berjuang pedang
dengan pedang bersama-sama pasukan Islam yang telah kembali semangat
perjuangannya, sedang Jarjah turut berjuang sebelah-menyebelah dengan
pasukan Islam dari sejak tengahari hingga matahari akan terbenam,
dan masuk waktu maghrib. pasukan Islam bersembahyang shalat Dzhuhur
dan Asar secara menunduk-nunduk saja kerana hebatnya pertarungan
yang berlaku di antara dua pihak itu. Akhimya Jarjah, moga-moga
Allah merahmatinya, gugur syahid setelah mendapat luka-luka berat,
dan dia tidak bersembahyang kepada Allah selain dua rakaat yang
dikerjakannya dengan Khalid ra. ketika dia memeluk Islam itu.
(Al-Bidayah Wan-Nibayah 7:12 - Menurut Abu Nu'aim dalam "Dalaa'ilun
Nubuwah", nama panglima Romawi itu ialah jarjir bukan jarjah.)
|
|